suria

Jenazah Ibu Pasangan Kembar Disemadikan Awal Pagi Tadi

-fotoBERNAMA
MARANG: Jenazah ibu pasangan kembar tiga yang terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 3.8, Jalan Tampin-Gemas, Negeri Sembilan, Sabtu lalu selamat disemadikan awal pagi Rabu.

Jenazah Wan Suhana Wan Abdul Latif, 33, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating kira-kira pukul 2 pagi.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.35 petang Selasa ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.

Ibunya, Kalsom Ludi, 61, berkata dia menerima khabar duka berkenaan kira-kira pukul 1.40 petang daripada anak sulungnya menerusi panggilan telefon.

"Sebelum itu anak meminta mak cik membaca surah Yasin dan mendoakan arwah.
Mak cik sempat membaca sebanyak dua kali sebelum menerima berita kehilangan itu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serating, pagi Rabu.

Kemalangan kira-kira pukul 3.30 petang itu mengorbankan empat sekeluarga iaitu Mohd Fadzil Jusoh (suami Wan Suhana), 37, ibunya, Nazipah Chik, 60, serta dua daripada tiga anak kembar pasangan itu, Nur Farhana dan Muhammad Farhan, berusia setahun.

Selain itu, seorang lagi kembar, Muhammad Fahimi telah dibenarkan keluar wad manakala adik Mohd Fadzil, Nursyuhaidah Jusoh, 23, yang cedera dan sebelum ini dirawat di HTJ, dipindahkan ke Hospital Kuantan.

Kalsom berkata kali terakhir bersama anak, menantu dan cucunya ialah ketika mereka pulang pada Aidilfitri lalu dan selebihnya hanya menatap gambar pasangan kembar serta bertanya khabar menerusi telefon.

Mengimbas kenangan lalu, beliau berkata pasangan suami isteri itu begitu teruja bila dimaklumkan mengandung kembar tiga selepas menanti hampir 10 tahun.

"Masa tahu mengandung mereka sangat teruja setelah sekian lama menanti...syukur mereka berpeluang dan merasai untuk bergelar ibu dan bapa walaupun hanya setahun," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa Wan Sumazliza, 35, berkata seminggu sebelum kejadian dia sempat berbual dengan Wan Suhana menerusi laman sosial Facebook yang mengatakan akan pulang ke kampung selepas bercuti di Johor.

Artikel Lain