suria

Warga India Terlibat Kemalangan Pagoh Seorang Dermawan

MUAR: Abdullah Hadi Yusof, antara yang terkorban dalam tragedi bas ekspres di Pagoh pada Sabtu, disifatkan sebagai seorang yang dermawan dan peramah dalam kalangan rakan komunitinya di Masjid India Johor Baru.

Warga India berusia 47 tahun itu ialah seorang daripada 14 yang maut dalam kemalangan bas ekspres di Km137.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Pagoh, awal pagi Sabtu.

Rakan kepada mangsa, Sharbudeen Abdul Ghaffar, 58, berkata Allahyarham Abdullah Hadi semasa hayatnya banyak menghabiskan masanya di masjid dan banyak memberi bantuan kepada komuniti India Muslim di sini.

"Allahyarham seorang yang baik dan peramah, dia dengan kawan-kawan tidak pernah ada masalah dan kerap menyumbangkan derma kepada rakan-rakan dan keluarga komuniti yang menghadapi masaalah.

"Kali terakhir kami berhubung adalah selepas solat Jumaat (dua hari lepas) dan dia sempat bergurau-senda bersama rakan-rakannya. Pada ketika itu, dia ada memaklumkan hasratnya untuk ke Kuala Lumpur," katanya.

Allahyarham Abdullah Hadi berasal daripada Tiruchirappalli, Tamil Nadu, India dan telah menetap di dalam negara selama tiga tahun.

Menurut Sharbudeen, Allahyarham bekerja sebagai pengusaha kedai emas di Kuala Lumpur dan sering berulang-alik ke Johor Bahru kerana terdapat cawangan kedai di sini.

"Jenazahnya akan dihantar ke India oleh sepupu lelakinya yang juga rakan kongsi perniagaan dalam tempoh terdekat. Di India, dia ada isteri dan dua orang anak iaitu anak perempuan berusia 21 tahun dan anak lelaki 12 tahun," katanya.

Tambah Sharbudeen, Allahyarham akan pulang ke India setiap enam bulan sekali untuk melawat keluarganya di sana.

"Saya telah memaklumkan kejadian ini kepada keluarganya di India, dan rakan-rakannya dijangka datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah sebelum jenazah dihantar pulang," katanya.

Tambahnya, dia bersama rakan-rakan yang lain mendapat maklumat mengenai kejadian melalui gambar Allahyarham yang viral di Facebook pada pukul 12 tengah hari semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain