suria

Peraturan Cuti Baharu Mulai 1 Januari 2017

Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
SEREMBAN: Kakitangan awam dibenarkan memohon cuti tanpa rekod sehingga lima hari jika anak-anak mereka menghidap penyakit berjangkit seperti demam denggi berdarah atau campak dan perlu dikuarantin.

Peraturan ini mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Mereka juga akan dibenarkan bercuti untuk menjaga anak-anak yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut, cacar air, difteria dan malaria.

"Ibu bapa akan dibenarkan untuk mengambil cuti sehingga lima hari selagi kanak-kanak itu berusia bawah 18 tahun; atau bawah 21 tahun jika mereka masih mengikuti pengajian peringkat tinggi," kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.


Had umur itu, katanya, tidak akan terpakai jika kanak-kanak yang sakit itu cacat dari segi fizikal atau mental.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan ibu bapa dapat bersama dengan anak-anak yang sakit dan menjaga mereka.

Ibu bapa boleh memohon cuti untuk tempoh masa lebih lama jika kanak-kanak itu masih diperakui sebagai sakit selepas tempoh lima hari itu, katanya.

Pemeriksaan perubatan boleh dilakukan sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

Mohamad Zabidi Zainal akan menamatkan perkhidmatannya sebagai ketua pengarah pada 31 Disember ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan Mohamad Zabidi, yang berkhidmat selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam,  bercuti mulai Khamis sebelum perkhidmatannya tamat.

Artikel Lain