suria

Bas Laju, 'Terbang' Sebelum Terjunam - Saksi

Keadaan bas ekspress yang terbabas ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi Sabtu. Kejadian itu mengakibatkan 14 maut manakala 16 lagi cedera. -fotoBERNAMA
MUAR: Bas ekspres yang terlibat dalam nahas di KM137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi Sabtu didakwa dipandu laju sebelum 'terbang' menjunam di cerun dan melanggar benteng konkrit di bawahnya.

Seorang saksi, Ahmad Fahmi Khairuddin, 19, berkata bas tersebut turut bergesel dengan sebatang tiang elektrik sehingga mengeluarkan percikan api sebelum terjunam berhampiran Kampung Jayor, Pagoh.

"Saya nampak dengan jelas bas itu 'terbang' lalu bergesel tiang elektrik dan terjunam melanggar benteng konkrit.

"Bunyi kejadian itu juga amat kuat...saya boleh ibaratkan kekuatannya lebih daripada tiga kali ganda bunyi tayar meletup," katanya yang ditemui di rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Ahmad Fahmi yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Kluang berkata dia yang bercuti di rumah, sedang bermain permainan Saidina bersama tiga rakan ketika nahas berlaku kira-kira pukul 3.25 pagi.

Katanya dalam keadaan terkejut, dia bersama tiga rakannya itu terus berlari ke tempat kejadian bagi memberi bantuan awal.

Dia kemudiannya berpatah balik ke rumah dan terus mengejutkan bapanya yang sedang tidur bagi mendapatkan bantuan selanjutnya.

"Saya mendengar jeritan mangsa yang meminta tolong. Saya dan rakan-rakan terus membantu mengangkat mana-mana mangsa yang boleh dialihkan," katanya yang masih terbayang-bayang keadaan kelam kabut ketika itu.

Sementara itu, bapa Ahmad Fahmi, Khairuddin Abdullah, 49, berkata dia terjaga sejurus terdengar bunyi yang kuat sebelum anaknya menjerit memberitahu mengenai nahas yang berlaku di hadapan rumah mereka.

Khairuddin yang merupakan Ketua Kampung Jayor berkata dia terus bergegas menghubungi Pusat Panggilan MERS 999 Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum menghubungi penduduk kampung.

"Beberapa penduduk kampung turut menggunakan lampu motosikal mereka bagi membantu menerangi kawasan kejadian," katanya.

Khairuddin berkata dia sekeluarga baru lima bulan berpindah ke rumah baharu mereka itu, namun sudah mendiami kampung berkenaan sejak 10 tahun lepas dengan tinggal di rumah mentuanya.

Katanya laluan lebuh raya berkenaan merupakan kawasan yang kerap berlaku kemalangan selain letupan tayar kenderaan.
kemalangan bas, kemalangan Pagoh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain