suria

Gangguan Bekalan Air Tidak Berlanjutan Sehingga Enam Hari - Azmin

Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata gangguan bekalan air di Lembah Klang tidak akan berlanjutan sehingga enam hari dan memberi jaminan akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan isu tersebut.

Menteri Besar Selangor itu berkata, mesyuarat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor akan diadakan pada lewat Isnin untuk mengkaji kaedah bagi mempercepatkan kerja penyenggaraan di Bukit Badong, Kuala Selangor.

"Arahan daripada kerajaan negeri adalah kami mahu tempoh gangguan bekalan air dipendekkan supaya mereka yang meraikan sambutan Krismas tidak terjejas.

"Oleh itu, satu mesyuarat telah dipanggil untuk diadakan hari ini (Isnin). Air Selangor akan memberikan taklimat penuh mengenai perkembangan terbaharu ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program menggalakkan kakitangan kerajaan negeri menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.

Azmin berkata, gangguan tersebut tidak akan berlanjutan sehingga enam hari iaitu sehingga malam sambutan Hari Krismas.

"Berdasarkan laporan awal yang saya terima, gangguan itu tidak akan berterusan sehingga enam hari kerana loji rawatan tidak ditutup sepenuhnya.

"Kami masih ada generator yang berfungsi untuk terus merawat air mentah," katanya.

Azmin Ali, gangguan bekalan air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain