suria

TPM Beri Jaminan Akan Teliti Kes Guru Cabul Murid Sekolah

KUALA LUMPUR: Seorang guru yang didakwa mencabul kehormatan sembilan murid sekolah rendah kembali mengajar di sekolah lain sekali gus menimbulkan kebimbingan di kalangan ibu bapa dan pendidik.

Ketidakupayaan Kementerian Pendidikan atau polis untuk melindungi murid sekolah daripada guru tersebut menimbulkan rasa kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau secara peribadi akan meneliti perkara itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu berkata beliau akan mengambil kepentingan peribadi dalam kes membabitkan seorang guru didakwa mencabul sembilan murid di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor.

"Kita perlu bekerjasama demi kepentingan murid dan juga kanak-kanak," katanya dalam jawapan bertulis kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) di Dewan Rakyat.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis masih menyiasat kes membabitkan guru tersebut.

"Walaupun saya masih belum bercakap dengan Menteri Pendidikan, polis akan berhubung dengan pihak pengurusan sekolah tersebut dan juga ibu bapa," katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyatakan pendirian tegas mengenai perkara itu pada Rabu.

"Kita akan lihat jika terdapat alasan untuk menggantung guru tersebut dan memindahnya ke jawatan pentadbiran jauh dari sekolah," katanya kepada The Star di luar Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata kementerian itu tidak akan membenarkan pelaku seksual berada di sekolah.

Namun katanya, perlu ada bukti sebelum mana-mana guru disyaki terlibat boleh digantung tugas.

Beliau berkata tiada mangsa atau keluarga mereka tampil memberitahu anak mereka dicabul sekali gus menafikan cakap-cakap bahawa kementerian itu tidak mengendahkan kes tersebut.

"Secara teknikal, dia dihukum hampir dua bulan (dengan melakukan kerja pejabat)," katanya.

Beliau berkata berdasarkan Peratuaran-peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan tatatertib) 1993, seseorang yang disiasat kementerian itu akan dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selama 15 hari sementara menunggu siasatan.

Katanya, guru tersebut diletakkan di bahagian PPD Hulu Selangor selama hampir dua bulan bermula 18 Mei dan dipindahkan ke sekolah lain pada 27 Jun lalu.

Beliau berkata walaupun siasatan awal jabatan itu menunjukkan terdapat asas bagi kes tersebut, tiada mana-mana individu tampil membuat laporan polis bahawa mereka telah menjadi mangsa cabul.

Malah, beliau turut menyalahkan stigma sosial melibatkan apa-apa kes seksual kerana kekurangan bukti yang menghalang siasatan terhadap kes itu untuk diteruskan.

Katanya, adalah tidak benar kementerian tersebut tidak mengambil tindakan tegas ke atas pelaku seksual sambil menegaskan dua guru sudah dipecat pada 2012 dan 2013 atas kesalahan itu.


Artikel Berikut

Artikel Lain