suria

Umno Sedia Berbincang Atasi Kemelut Utusan

KUALA LUMPUR: Umno sedia berbincang dengan pihak pengurusan Utusan Melayu untuk menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi syarikat akhbar itu selepas Kesatuan Kewartawanan Kebangsaan (NUJ) Semenanjung Malaysia menyarankan parti terbesar Melayu tersebut melepaskan pegangan saham dalam syarikat terbabit.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan NUJ ternyata berasas dan mempunyai sebab kukuh, dan pastinya Umno akan mengambil perhatian terhadap isu tersebut yang membabitkan keluhan staf syarikat berkenaan kelewatan kemasukan gaji, kejatuhan pengedaran dan kekurangan pendapatan melalui iklan selain terpaksa membayar ganti rugi apabila kalah dalam kes mahkamah.

Bagaimanapun Annuar menegaskan, status sebagai pemegang saham tidak boleh dilihat sebagai punca Utusan mengalami kerugian memandangkan akhbar itu menerima tekanan yang kuat dari ramai pihak kerana memperjuangkan agenda Melayu dan negara.

Jelasnya, disebabkan pegangan Utusan untuk mempertahankan identiti tertentu, bukan sahaja syarikat berkenaan menerima bahan dan kesan buruk kerana menjalankan agendanya, tetapi Umno juga turut terkena tempias.

"Adakah kerana Umno memegang Utusan, maka syarikat itu rugi? Ada masanya semasa Umno pegang, Utusan tidak rugi.

"Tetapi sebaik-baiknya bagi saya, elok pengurusan Utusan duduk dengan NUJ.

"Saya rasa itu lebih baik. Duduk berbincang dan bertukar pandangan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Rabu.

Mengulas tentang kebimbangan yang dihadapi staf Utusan, Annuar memberi jaminan bahawa Umno menegaskan tidak sesekali mengabaikan Utusan memandangkan komitmen yang kuat ditunjukkan oleh syarikat itu dalam memainkan agenda orang Melayu.

Beliau menyarankan staf syarikat itu agar tidak terburu-buru dan tidak gunakan emosi, sebaliknya menggunakan kebijaksanaan untuk membuat keputusan.

"Tengok Utusan kepada perjuangan yang lebih besar. Adakah jika tiada Umno, Utusan akan mengabaikan perjuangannya?

"Jika Utusan berasa begitu, tiada masalah bagi Umno kerana mengapa perlu parti ini melabur pada sesuatu (syarikat) yang tidak menjana pendapatan.

"Tetapi perjuangan Utusan lebih besar dan soal kebajikan dan sebagainya, banyak lagi ruang yang boleh dirundingkan bagi menjaga kepentingan (semua pihak)," katanya.

Umno, NUJ, Utusan, Tan Sri Annuar Musa

Artikel Berikut

Ibu Rantai Anak Mohon Maaf

Artikel Lain