suria

Lelaki Disyaki Menyamar Polis Untuk Memeras Ditahan

BACHOK: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terbabit dalam dua kes pemerasan dan curi motosikal sekitar Bachok sepanjang Oktober ini, ditahan dalam satu rondaan, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek ditangkap kira-kira pukul 10 pagi selepas bergelut dengan polis apabila cuba melarikan diri ketika ditahan sewaktu menunggang motosikal di Kampung Panjang, Perupok. 

"Hasil siasatan, suspek yang juga seorang penganggur mengaku melakukan tiga kegiatan jenayah pada 10, 26 dan 27 Oktober lepas membabitkan dua kes pemerasan dan satu kes curi motosikal.

"Kita percaya suspek menjadikan golongan remaja sebagai mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis selain menggunakan objek tertentu untuk mengugut sebelum merampas barangan berharga milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata, pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan enam peluru berwarna kuning yang diisi bebola besi dan tiga pil kuda dalam poketnya, selain sebatang besi menyerupai cota bersarung hitam. 

"Kami percaya semua peralatan itu digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti pemerasan. Suspek dibawa ke IPD Bachok untuk siasatan lanjut," katanya.

Nik Aminuddin berkata, siasatan di kediaman suspek di Kampung Pantai Damak pula turut menemukan satu pistol mainan, satu kelopak pistol hitam dan satu komponen pistol mainan. 

Beliau berkata, pihaknya turut menemui kulit buku saku dengan lambang PDRM, dompet dan kad pengenalan mangsa, nombor plat motosikal yang belum terbakar sepenuhnya selain satu motosikal jenis Yamaha LC yang telah dileraikan di tempat pembakaran sampah hadapan rumah suspek. 

"Kami turut menemui satu telefon bimbit jenama iPhone selain satu motosikal jenis Kawasaki yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur pada 2013," katanya sambil menambah polis turut mempergiatkan usaha memburu tiga lagi rakan suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti tersebut.

Suspek ditahan reman seminggu bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 379A Kanun Keseksaan, masing-masing kerana peras ugut dan mencuri. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain