suria

SPRM, Jabatan Audit Perkukuh Kerjasama

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara (JAN) memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan operasi antara kedua-dua agensi berjalan lebih lancar dan sempurna.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata,   kolaborasi dalam mengatasi isu-isu semasa mengenai rasuah dan salah guna kuasa ini sekali gus bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kedua-dua agensi.

"Selama ini, SPRM memang mempunyai hubungan kerjasama yang rapat dengan JAN antaranya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) menerusi program pertukaran pegawai.

"Dengan kerjasama yang terjalin ini, kami berharap ia dapat meningkatkan dan memantapkan lagi keberkesanan operasi antara kedua-dua agensi dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dan kekangan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena kunjungan hormat JAN ke Ibu Pejabat SPRM di sini, Isnin.

Rombongan yang terdiri daripada lapan pegawai tersebut diketuai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan  Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Datuk Mustafa Saman; Timbalan Ketua Audit Negara (Tadbir Urus), Datuk Che Isa Che Kob dan Pengarah Bahagian Sosial dan Keselamatan Sektor Audit Prestasi, Datuk Juhari Haron.

Turut hadir bersama ialah Pengarah Sektor Audit Kewangan Bahagian 1, Khalid Khan Abdullah Khan; Pengarah Bahagian 1 Sektor Audit Tadbir Urus, Datin Paduka Ang Nai Har; Pengarah Bahagian Susulan Audit, Zulkipli Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Audit, William Yapp.

Bagi pihak SPRM, turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

SPRM, Jabatan Audit Negara

Artikel Lain