suria

MB Pahang Kecewa Kes Curi Pasir Berterusan

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini melahirkan kekecewaan dengan kegiatan mencuri pasir yang masih berlaku di Sungai Pahang meskipun prosedur mendapatkan lesen perlombongan telah dipermudahkan.

"Saya sedih dan kecewa kerana kegiatan mencuri pasir yang tak sepatutnya berlaku, masih ada (berlaku) di Pahang," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas mengiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merasmikan '2nd World Congress on Integration and Islamicisation: Focus on Medical and Health Care Sciences' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan di sini.

Menurut Adnan, prosedur mendapatkan lesen perlombongan pasir yang dipermudahkan itu, membolehkan sesiapa sahaja mengemukakan permohonan melombong.

Katanya, permohonan akan diluluskan oleh Jawatankuasa Pembangunan Tetap (Pasir) di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) kecuali bagi permohonan melombong pasir sungai yang melibatkan kawasan melebihi lapan hektar yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

"Saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Muhammad Safian Ismail sebenarnya tidak tahu berlaku kegiatan mencuri pasir dan saya tak faham kenapa perlu mencuri.

"Tak perlu mencuri kerana jika ada permohonan boleh diluluskan. Jika sudah kena tangkap, maka tanggunglah akibatnya kerana boleh diminta cara elok," katanya.

Isnin lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki termasuk seorang kakitangan PTD Temerloh kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri pasir sungai Pahang sejak dua tahun lalu.

SPRM turut mengenal pasti 10 anggota penguatkuasa yang bersubahat melindungi sindiket berkenaan dan difahamkan kegiatan mencuri pasir itu menyebabkan kerajaan Pahang kerugian RM180,000 sebulan.

Sementara itu, Adnan menegaskan air sungai Semantan di Bentong, dekat sini yang disalurkan ke Selangor, adalah elok dan tidak mengalami pencemaran sebagaimana dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang.

"Air yang dihantar elok dan kualitinya telah disahkan sebagai kelas II (memerlukan rawatan biasa)," katanya sambil menambah kerajaan Selangor dialu-alukan untuk datang sendiri dan melihat kualiti air berkenaan.

Kerajaan Selangor sebelum ini mendakwa penutupan loji rawatan air di Cheras dan Langat disebabkan pencemaran air Sungai Semantan yang disalurkan, meskipun dakwaan telah dinafikan JAS Pahang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain