suria

Bayaran Gimnasium Dapat Pelepasan Cukai

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang gemar ke gimnasium untuk gaya hidup lebih sihat boleh menarik nafas lega apabila bayaran keahlian ke pusat kecergasan itu akan mendapat pelepasan cukai pendapatan individu.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, petang Jumaat.

Najib berkata, selain bayaran keahlian gimnasium, pelepasan cukai itu turut diperluaskan kepada pembelian akhbar arus perdana, telefon pintar dan tablet serta langganan Internet.

"Pelepasan cukai individu untuk pembelian bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan digabungkan sebagai pelepasan cukai gaya hidup," kata Najib.

Tambah Najib, pelepasan itu diberi sehingga RM2,500 setiap tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2017.

Bajet 2017 membabitkan peruntukan RM260.8 bilion iaitu RM214.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM46 bilion untuk belanja pembangunan.

Dewan Rakyat, gimnasium, Bajet 2017

Artikel Berikut

Artikel Lain