suria

Jamal Ditahan Reman Dua Hari

Jamal bersama Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi di IPD Dang Wangi, Rabu.

PETALING JAYA: Pemimpin gerakan anti-Bersih, Datuk Seri Jamal Yunos yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Rabu telah direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung entri berunsur hasutan yang dimuatnaik di laman sosial.

Selain kenyataan dalam Facebook itu, peritah tahanan reman itu diperoleh bagi membantu siasatan yang dijalankan melibatkan tiga kesalahan lain.

Kesalahan yang disiasat termasuk mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan menggugat keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Turut ditahan Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar yang didakwa mengendalikan laman facebook milik Jamal.

Ketika ini, pasukan Bukit Aman dalam proses mengambil keterangan kedua-duanya di IPD Dang Wangi.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh memaklumkan Jamal ditahan berkaitan tindakan kumpulan anti-Bersih di Teluk Intan dan Sabak Bernam.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Umno bahagian Sungai Besar ketika dihubungi berkata, dia ditahan pada kira-kira pukul 8.30 pagi sebaik tiba dari Dubai.

Pada 11 Oktober lalu, laporan polis terhadap Jamal dibuat kerana kenyataan di laman sosial Facebook yang berbau ugutan mengenai rusuhan kaum 13 Mei akan berulang.

Beliau bagaimanapun menafikan memuatnaik kenyataan itu dan mendakwa ia dari akaun palsu.

Jamal Yunos, reman, Akta Hasutan

Artikel Lain