suria

Penganjur Program Jati Diri Wajib Bentang Modul, Aktiviti Kepada PPD

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan, Rabu.

PUTRAJAYA: Penganjur program pembinaan jati diri membabitkan murid sekolah kini diwajibkan membentangkan maklumat atau kandungan modul latihan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum aktiviti dilangsungkan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Penganjur termasuk agensi daripada kementerian lain terlebih dahulu perlu membuat penerangan, ulasan dan kandungan kursus kepada PPD sebelum kebenaran diberi kepada pihak sekolah untuk mengikuti program," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, Rabu.

Mahdzir yang mengeluarkan arahan itu susulan insiden program jati diri di Perak yang melibatkan ular berkata ia bagi mengelakkan modul latihan yang tidak bersesuaian digunakan dan mempunyai elemen ketakutan melampau. 

"Kementerian tiada masalah dan membenarkan program jati diri bagi membina keyakinan diri di kalangan murid atau pelajar diteruskan oleh pihak sekolah tetapi ia mestilah tidak melibatkan perkara yang boleh menimbulkan trauma kepada pelajar," katanya.

Dalam rakaman insiden yang viral, sekumpulan kanak-kanak perempuan kelihatan menangis dan menjerit-jerit setelah ular dicampakkan ketika melakukan latihan meredah kolam berselut, selain turut disiram air serta disergah supaya tigak gentar menghadapi ujian.

Mengulas insiden itu, Mahdzir berkata ia tidak sepatutnya berlaku jika penganjur mengikuti prosedur operasi standard (SOP) program jati diri yang dianjurkan kementerian.

Mengambil Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) anjuran kementerian sebagai contoh, beliau berkata SOP program berkenaan menetapkan aktivitinya tertumpu kepada usaha mengukuhkan semangat perpaduan dalam jiwa generasi muda berbilang kaum di negara ini.

Mengenai murid dalam insiden itu terbabit, beliau berkata Jabatan Pendidikan Perak dan PPD Kuala Kangsar telah mengambil langkah awal antaranya memberi kaunseling bagi menangani perasaan trauma di kalangan mereka.

Mengenai isu buli, Mahdzir berkata wujud salah faham berhubung cadangan kementerian untuk menggantung persekolahan pelajar yang membuli pelajar lain selama setahun.

Beliau menjelaskan bahawa tempoh hukuman gantung persekolahan itu hanya melibatkan tempoh semasa atau tahun ketika kejadian itu berlaku sahaja, dan hukuman tidak akan melibatkan atau dibawa ke tahun berikutnya.

"Jika kesalahan itu berlaku pada Jun 2016, kes itu hanya akan berkuat kuasa sehingga akhir Disember tahun yang sama, bukannya dibawa sehingga Jun 2017 untuk menggenapkan tempoh setahun hukuman," katanya. -- Bernama

Mahdzir Khalid, PPD, jati diri

Artikel Sebelum

Shafie Tak Sokong Usul Hadi

Artikel Berikut

Jamal Ditahan Reman Dua Hari

Artikel Lain