suria

Histeria: Solat Hajat, Bacaan Yasin Di SMK Bandar Baru Bangi

PETALING JAYA: Susulan beberapa insiden serangan histeria membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor, satu majlis solat hajat dan bacaan yasin akan diadakan di sekolah tersebut pada Jumaat.

Difahamkan, pihak sekolah meminta bantuan daripada Pusat Rawatan Darussyifa’ di Bandar Baru Bangi bagi mengadakan majlis solat hajat.

Turut difahamkan, pihak SMK Bandar Baru Bangi telah datang ke Darussyifa’ pada Selasa lalu bagi meminta pusat rawatan tersebut mengadakan majlis berkenaan, antara lain sempena musim peperiksaan yang bakal menjelang.

“InsyaAllah, majlis solat hajat dan bacaan yasin itu akan diadakan pada Jumaat malam selepas solat Maghrib di SMK Bandar Baru Bangi,” ujar sumber kepada mStar Online pada Rabu.

Terbaharu, difahamkan terdapat insiden serangan histeria berlaku lagi di sekolah berkenaan pada Rabu.

Menerusi satu ‘posting’ di Facebook, terdapat seorang individu mendakwa mendengar suara jeritan di sekolah itu.

Bagaimanapun tidak dipastikan berapa ramai pelajar yang diserang histeria, dan sama ada dakwaan itu daripada pihak guru atau pelajar.

Minggu lalu, lebih 50 pelajar SMK Bandar Baru Bangi diserang histeria dalam satu kejadian pada kira-kira pukul 9 pagi.

Menurut sumber, beberapa ibu bapa bersama anak mereka yang terlibat dengan serangan histeria itu datang ke pusat rawatan Darussyifa’ bagi mendapatkan rawatan.

“Kecoh!! Kelam kabut!! Berpuluh pelajar diserang histeria!! Jeritan nyaring macam pontianak bersahutan di sana sini. Bacaan ayat-ayat Al-Quran dan suara azan berkumandang di seluruh kawasan sekolah,” memetik satu ‘posting’ di Facebook mengenai serangan histeria membabitkan lebih 50 pelajar itu.

Dilaporkan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, insiden itu pada mulanya menyerang pelajar tingkatan empat sebelum menular kepada pelajar tingkatan tiga dan lima.

Turut dilaporkan mengenai dakwaan kejadian berlaku selepas sebatang pokok besar berhampiran sekolah berkenaan ditebang.

Bagaimanapun menurut sumber, tidak dipastikan kejadian berpunca daripada pokok tersebut ditebang atau tekanan para pelajar menghadapi peperiksaan.

histeria

Artikel Lain