suria

Polis Johor Tahan 'Hang Cangkul'

PETALING JAYA: Polis Johor menahan dua lelaki kerana didakwa menyerang seorang kakitangan Suruhanjaya Air Johor (SAJ) yang memotong bekalan air ke rumah keluarga suspek kerana tidak membayar bil.

Suspek berusia 36 dan 19, dari Kulai itu juga mengugut dua kakitangan SAJ dengan cangkul.

Dalam video insiden yang tersebar di media sosial, suspek menanggalkan topi keledar kakitangan SAJ itu lalu menumbuk kepala petugas itu, manakala ditendang seorang lagi rakannya lelaki itu.

Menerusi video itu, suspek yang tidak memakai baju dan berseluar pendek mengarahkan kakitangan SAJ itu menyambung semula bekalan air kerana ibunya telah membayar bil.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kakitangan SAJ itu mengalami "kecederaan tisu lembut".

"Kedua-dua suspek menyerang pengadu dan rakannya menggunakan tangan dan topi keledar," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek masing-masing ditahan pada kira-kira jam 2 pagi di Jalan Indahputra dan Kampung Melayu di Kulai, Johor.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Tindakan lelaki berkenaan menimbulkan kemarahan netizen, malah ada yang menggelarnya Hang Cangkul berikutan perbuatannya menggunakan cangkul ketika menyerang pekerja SAJ .

SAJ, Kulai, cangkul

Artikel Lain