suria

Hab Kemahiran Johor Tingkatkan TVET, Lahirkan Ramai Pekerja Mahir

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan) diberi penerangan oleh Pengarah Eksekutif Skill Johor Omar Shariff Mydeen (tiga, kanan) ketika melihat replika projek Skills Johor dalam bandar akademi selepas merasmikan Pembangunan Hab Kemahiran Johor, Bandar Akademi Johor di Dewan Utama Kolej Yayasan Pelajaran Johor, Kota Tinggi pada 18 Oktober 2016. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Ho Hup Construction Company Bhd Datuk Derek Wong Kit Leong (kanan). - fotoBERNAMA

KOTA TINGGI: Hab Kemahiran Johor, yang dibangunkan untuk meningkatkan bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET), dapat memenuhi keperluan pembangunan negeri dan mencapai aspirasi kerajaan Persekutuan untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika bakat dan kemahiran anak muda tidak dilatih, beliau bimbang peluang pekerjaan yang ada di negara ini akan hanya diisi pekerja asing.

Sekiranya ini berlaku, katanya ia tidak selari dengan matlamat kerajaan yang sentiasa komited menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Jika tenaga kerja tidak dilatih, dikuatiri majikan mengambil pekerja asing...ia tidak selari dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

"Perancangan kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) untuk mengambil 20,000 pelajar pada masa akan datang, akan menyumbang tenaga kerja untuk negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembangunan Hab Kemahiran Johor di KYPJ di sini, Selasa.

Terdahulu, dalam ucapannya perasmiannya Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membiayai kursus-kursus kemahiran dan vokasional di KYPJ tahun hadapan.

Zahid Hamidi (kiri), Khaled Nordin (tengah) dan Omar Shariff bergambar bersama cenderahati Majlis Pelancaran Skills Johor.

Peruntukan itu selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan yang memberi fokus kepada pendidikan TVET, satu daripada komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

"Kita memahami kursus-kursus TVET merupakan pendekatan untuk memberi latihan keterampilan bagi guna tenaga dalam pasaran industri yang semakin mencabar," katanya.

Hab Kemahiran Johor atau dikenali sebagai Skills Johor bakal dibina di kawasan seluas 40 hektar berdekatan Kampus Induk KYPJ, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional.

Hab bernilai RM107 juta itu, yang dilengkapi kemudahan asas, berupaya menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila ia siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga merasmikan kampus induk KYPJ dan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Ketiga-tiga pembangunan yang dilancarkan itu adalah sebahagian daripada komponen Bandar Akademik Johor dengan kampus induk KYPJ merupakan adalah yang pertama memulakan operasinya awal tahun ini dengan pelajar seramai 2,500 pelajar ketika ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - BERNAMA

Artikel Lain