suria

Tidak Ada Pilihanraya Negeri Sebelum PRU14 - Ahmad Zahid

KOTA TINGGI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pilihan raya negeri tidak akan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang kononnya pilihan raya negeri bakal diadakan di Johor.   

Katanya Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah menyatakan pendirian jelas kerajaan negeri bahawa ia akan menyelaraskan pilihan rayanya dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Di dalam hal ini, dari segi pentadbiran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jugatidak akan menggunakan peruntukan di luar jangkaan (untuk mengadakan pilihan raya negeri)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hab Kemahiran Johor di Kolej Yayasan Pelajaran Johor di sini, Selasa.   

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata penjelasan Mohamed Khaled menunjukkan objektif kerajaan negeri Johor adalah selaras dengan kerajaan Persekutuan.    

Beliau mengulas kenyataan DAP Johor bahawa ia sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri, walaupun Mohd Khaled telah menyangkal dakwaan pilihan raya negeri akan diadakan di Johor.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno berkata BN tidak meminggirkan mana-mana kawasan yang Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak diwakilinya.   

"Namun, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri BN dan kerajaan Persekutuanharuslah dinilai dengan sebaik-baiknya oleh pengundi di kawasan itu khususnya pengundi kali pertama," kata Ahmad Zahid.

Menurutnya rakyat boleh melihat bahawa tiada pembangunan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang diwakili Anggota Parlimen atau ADUN pembangkang.-Bernama

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Berikut

Artikel Lain