suria

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan P.Pinang Disaman

Jason Loo Jieh Sheng

KUALA LUMPUR: Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo Jieh Sheng kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang.

Selaku plaintif, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong itu, memfailkan saman pada 8 Ogos lepas menerusi Tetuan Harjinder &Associates. 

Media memperoleh salinan dokumen itu pada Selasa melalui Peguam Chai Ko Tingyang mewakili Loo, ketika kes itu ditetapkan untuk sebutan dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah.

Semasa ditemui pemberita, Chai berkata pihaknya memohon supaya kes saman itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan 21 November ini ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Consortium Zenith mendakwa pada 23 Jun lepas, Loo selaku defendan telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah kepada wartawan-wartawan, yang kemudian diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini pada hari sama.

Syarikat itu mendakwa Loo membuat kenyataan yang turut mempersoal kredibiliti kerja syarikat itu selain mendakwa ia tidak boleh dipercayai, tidak jujur, penipu dan terlibat dalam aktiviti rasuah.

Syarikat berkenaan, yang mendakwa reputasinya terjejas akibat kenyataan fitnah itu, telah menuntut ganti rugi am, teladan dan melampau, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syarikat itu juga memohon satu injunksi untuk menghalang defendan atau pekerjanya daripada menerbitkan semula perkataan fitnah itu selain menuntut permohonan maaf daripada defendan.

Consortium Zenith, dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 6 Oktober 2013 syarikat itu diberikan kontrak oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kajian dan reka bentuk terperinci mengenai projek terowong dasar laut serta tiga jalan utama di negeri itu.

Tiga projek lebuh raya itu ialah jalan berkembar 12 kilometer (km) dari Jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang; lencongan 4.6 kilometer dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan lencongan 4.2 kilometer dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Sementara itu, Loo dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa beliau pernah menyebut nama Consortium Zenith ketika membuat kenyataan kepada wartawan pada 23 Jun lepas sebaliknya, hanya merujuk kepada wakil-wakil atau pegawai-pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang.

Loo, yang memfailkan tuntutan balas terhadap saman itu pada minggu lepas,mendakwa beliau turut difitnah syarikat berkenaan dan mendakwa syarikat itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang fakta, isi dan mengelirukan semua pihak dengan mengambil tindakan saman secara melulu terhadapnya. -Bernama

Artikel Lain