suria

137 Individu Berkait Daesh Ditahan - Zahid Hamidi

Gambar fail menunjukkan anggota polis menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam aktiviti militan Daesh.

KUALA LUMPUR: Seramai 137 orang ditahan setakat ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan militan Daesh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah penahanan itu termasuk individu yang cuba meninggalkan negara ini untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut.

"Kami telah menahan individu yang cuba menyertai militan Daesh, mereka yang pulang dari Iraq dan Syria serta pihak yang menaja aktiviti itu," katanya pada sidang media di Parlimen, Selasa.

Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, menambah, kementeriannya masih terus mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan kegiatan militan Daesh terutamanya rakyat Malaysia.

"Kami bertukar maklumat risikan dengan agensi antarabangsa dan memiliki senarai suspek serta senarai individu yang terlibat dalam militan Daesh.

"Saya mahu memberi jaminan bahawa langkah keselamatan bukan sahaja di lapangan terbang. Kawasan sepadan dan lorong 'tikus' turut dipantau dengan melibatkan agensi luar, bukan sahaja pasukan keselamatan sempadan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, Malaysia cuba menggunakan kaedah kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan program deradikalisasi.

"Mereka (Arab Saudi) mempunyai program deradikalisasi yang melibatkan pemasangan peralatan pemantauan elektronik kepada pesalah.

"Kami telah berbincang perkara ini dengan Peguam Negara," katanya.

Pada Ahad, tentera Iraq menggempur kubu terakhir militan Daesh di Mosul, sekali gus membangkitkan kemungkinan anggota kumpulan itu pulang ke negara masing-masing termasuk Turki, Amerika syarikat dan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Isnin berkata, Malaysia memantau rapi perkembangan tersebut.

Daesh, Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain