suria

Selangor Penerima BR1M Tertinggi

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Selangor merekodkan jumlah tertinggi penerima program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dari 2014 sehingga tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini diikuti oleh penerima di negeri Johor dan Sarawak.

Beliau berkata pada tahun ini, sebanyak 8,362,666 permohonan BR1M diterima dengan 7,280,340 permohonan diluluskan manakala bakinya tidak berjaya memperoleh bantuan itu.

"Daripada jumlah yang berjaya, Selangor adalah penerima tertinggi iaitu sebanyak 1,017,403 penerima, Johor (889,636) dan Sarawak (735,817)," katanya ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Nurul Izzah ingin tahu senarai jumlah permohonan BR1M yang berjaya dan gagal mengikut negeri dari 2014 hingga sekarang.

Johari berkata pada tahun 2014, penerima di Selangor turut mendapat bantuan BR1M terbanyak iaitu seramai 987,757 dan 1,066,359 penerima pada 2015.

Dalam pada itu, beliau berkata program latihan kemahiran, latihan perindustrian dan kolej komuniti telah dijalankan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan dan pendapatan penerima BRIM.

Selain itu, katanya kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi melibatkan diri dalam industri kecil dan keusahawanan.

Bagi tujuan itu, Johari berkata kerajaan telah menyediakan kemudahan pinjaman kewangan termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Mara bagi menyediakan pinjaman kewangan.

"Pendidikan dan latihan kemahiran dalam bidang keusahawanan kepada rakyat bagi membantu mereka agar lebih berdaya saing dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka," katanya. - BERNAMA

BR1M, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain