suria

Syarikat Hartanah Singapura Berminat Beli Bangunan Lama Di P.Pinang

Kira-kira 26 buah rumah sebelum zaman perang di Lorong Bertam, George Town antara hartanah terbaharu dibeli sebuah syarikat dari Singapura.

GEORGE TOWN: Syarikat hartanah Singapura masih berminat untuk membeli bangunan lama yang dibina sebelum zaman perang di Pulau Pinang, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Mereka membeli beberapa rumah yang terletak di luar tapak warisan negeri itu kerana hartanah tersebut tidak diletakkan di bawah perlindungan warisan oleh Unesco, menurut George Town Heritage Action.

Syarikat hartanah dikenali sebagai World Class Land (WCL) yang membina bangunan kediaman pencakar langit tertinggi di Australia muncul pembeli terbesar.

Dikenali sebagai Australia 108 kerana mempunyai ketinggian 108 tingkat, pembangunan di Melbourne itu dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

WCL sejak Disember 2013 dilaporkan membeli kira-kira 236 rumah di Pulau Pinang berjumlah lebih 250,000 kaki persegi menyamai 26 padang bola sepak.

Baru-baru ini, syarikat itu memohon untuk membina sebuah kondominium setinggi 46 tingkat di Gurdwara Road yang terletak hanya 200 meter dari Komtar selepas membeli 37 hartanah yang dibina sebelum zaman perang di kawasan itu.

Pembelian blok terbaharunya adalah sebanyak 26 rumah era sebelum perang di Penang Road dan Bertam Lane, yang juga terletak di berdekatan Komtar.

Hartanah itu dimiliki enam keturunan Tunku Kudin (1835-1909), datuk saudara kepada bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, selama hampir 100 tahun.

Tawaran daripada WCL adalah kira-kira RM980 setiap kaki persegi, berjumlah sekitar RM21 juta.

Tengku Abdullah Tengku Mahadi, 61, yang mengutip sewa bulanan daripada penyewa mewakili bapanya berusia 92 tahun berkata, perjanjian itu dimeterai di Thailand oleh seorang daripada enam waris yang mewakili mereka semua.

"Semua waris berusia dalam lingkungan 80-an dan 90-an. Ia memerlukan kos yang terlalu tinggi untuk membangunkan tanah itu dengan sendiri.

"Kami tidak begitu berminat untuk menjualnya. Kami tahu pemilik baharu akan mengubah keseluruhan tempat itu tetapi kami pun sudah terlalu berusia dan tidak mahu menjadi penghalang kepada pembangunan," katanya kepada The Star.

Beliau berkata waris hanya memperolehi RM50 sebulan dari setiap unit apabila Akta Kawalan Sewa dikuatkuasakan.

Selepas ia dimansuhkan pada 1997, mereka menaikkan sewa kepada RM600 dan ia kekal pada kadar sama sejak itu.

Peguam WCL menghantar notis pengusiran terhadap 60 penyewa yang masih mempunyai tempoh sehingga hujung November ini untuk berpindah.

Sebagai anak syarikat kepada Aspial Corporation Ltd, WCL telah menyiapkan banyak projek di kepulauan itu dan juga Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Aspial Koh Wee Seng disenaraikan oleh Forbes sebagai individu ke-43 terkaya di Singapura.

George Town Heritage Action lantang mengkritik kurangnya pemantauan kerajaan negeri terhadap hartanah yang didakwa dibeli WCL.

"Model perniagaan syarikat ini adalah untuk membeli hartanah, mengusir penyewa, mengubahsuai atau membina semula dan kemudia secara drastik meningkatkan kadar sewa," kata pengasas bersamanya Mark Lay.

Pada sidang media semalam, beliau menunjukkan senarai 236 hartanah yang kononnya dibeli WCL melalui beberapa anak syarikatnya.

Pulau Pinang, WCL, bangunan lama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain