suria

Aidilfitri: SAJ Henti Sementara Bekalan Air Berjadual Di Mersing

JOHOR BARU: Syarikat Air Johor Holdings Bhd (SAJ) akan menghentikan sementara bekalan air berjadual di Mersing mulai 29 Jun hingga 10 Julai ini bagi memberikan keselesaan kepada 15,000 pengguna yang akan menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Wahab Abdul Hamid berkata selepas tempoh itu, bekalan air berjadual bagaimanapun akan diteruskan dan dijangka berakhir pada 16 Julai.

"Kita faham apabila tiba musim perayaan, ramai warga kota akan pulang ke kampung dan ini menyebabkan penggunaan air meningkat kepada 300 peratus daripada kapasiti penggunaan biasa. 

"Justeru, dalam tempoh tersebut, kita perlu memastikan tiada gangguan terhadap bekalan air dan pengguna juga harus menggunakan air dengan berhemah," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini, Rabu malam.

Katanya, setakat semalam, paras air yang direkodkan di Empangan Congok, Mersing adalah 3.63 meter berbanding paras kritikalnya, 4.88 meter manakala Sungai Mersing (12.08 meter berbanding paras amaran, 11.70 meter.) 

"Walaupun paras air di Empangan Congok adalah di bawah tahap kritikal, namun, ia disokong oleh air di Sungai Mersing. 

"Kita juga telah mengepam air dari Sungai Jemari sejak 13 Jun untuk meningkatkan paras air di Empangan Congok," katanya dan menambah di kawasan lain, bekalan air adalah stabil dan tidak menjejaskan kepenggunaan orang ramai ketika menyambut Aidilfitri. -- Bernama

SAJ, Aidilfitri, Mersing

Artikel Berikut

Artikel Lain