suria

Lihat Pemotongan Bajet Universiti Dari Aspek Positif

KANGAR: Pengurangan bajet 2016 oleh kerajaan harus dilihat dari aspek positif untuk melatih sesebuah organisasi menjadi lebih efisien dan kreatif, kata pemangku Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal. 

Beliau berkata pengurangan bajet itu juga melatih institusi pendidikan tinggi tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan melalui peningkatan inovasi perbelanjaan berhemah dan menjana kewangan sendiri.

"Apabila terlalu bergantung kepada kerajaan, kita menjadi kurang berinisiatif untuk berdikari. Dalam hubungan ini, UniMAP telah bersiap sedia menghadapi pengurangan bajet tersebut. 

"Antaranya kita melipatgandakan penerokaan projek-projek baharu yang memberi keuntungan jangka pendek dan panjang," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Seri Gemilang UniMAP 2015 di sini, Selasa malam.

Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin PutraJamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor berkenan hadir.

Menurut Zul Azhar geran mengurus untuk tahun 2016 berkurangan 7.3 peratus atau kira-kira RM16 juta berbanding peruntukan tahun lepas.

Katanya beliau berdepan banyak reaksi apabila kerajaan mengumumkan pengurangan bajet kepada institusi pendidikan tinggi kerana ada berpendapat universiti bukan badan korporat dan tidak harus dibebankan untuk menjana kewangan sendiri.

"Saya berpendapat kita melakukan sedaya upaya yang terbaik untuk rakyat dan UniMAP sendiri menggunakan pelbagai saluran bagi menjana kewangan selaras dengan wawasan kerajaan tanpa menjejaskan operasinya," katanya. 

Pada majlis itu seramai 106 orang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang manakala 24 yang lain menerima anugerah khas.

Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) Aceh, Marniati M. Kes menerima anugerah khas (individu) manakala bagi agensi diberikan kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis. 

Bekas Naib Canselor UniMAP yang kini dilantik Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin menerima anugerah perkhidmatan lama. -Bernama

Pemotongan Bajet, Universiti

Artikel Lain