suria

Rasuah: Koperal Polis Mengaku Tidak Bersalah Lindungi Pemilik Kereta Curi

Ariffin (tengah) ketika diiringi ke mahkamah, pagi Isnin.
PETALING JAYA: Seorang anggota polis pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Melaka atas pertuduhan menerima rasuah daripada pemilik kereta curi.

Koperal Ariffin Md Sharip, 45, didakwa menerima suapan wang tunai RM4,000 daripada Johaidi Muhamad sebagai dorongan untuk tidak mengenakan tindakan terhadapnya, menurut satu kenyataan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin.

Johaidi didakwa memiliki kenderaan curi jenis Proton Persona dan Proton Wira serta sebuah motosikal model Honda Wave.

Ariffin didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Januari 2016 di dalam Balai Polis Tengkera, Melaka Tengah, lebih kurang pukul 6 petang.

Dia dituduh di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara sehingga tempoh 20 tahun.

Hakim Ahmad Sazali Omar menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan 11 April 2016 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan oleh SPRM dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Heikal Ismail.
kes rasuah, kereta curi, SPRM

Artikel Lain