suria

Permohonan Hishamuddin Rais Cabar Imigresen Pada 15 April

Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 15 April ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan aktivis Hishamuddin Md Rais bagi mencabar tindakan Jabatan Imigresen yang melarangnya ke luar negara pada Disember tahun lepas.

Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes dalam kamarnya, yang dihadiri peguam Melissa Sasidaran mewakili Hishamuddin.

Melissa ketika ditemui pemberita berkata permohonan anak guamnya itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Hanipah Farikullah.

Hishamuddin selaku pemohon, memfailkan permohonan itu pada 3 Mac lepas dengan menamakan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau menuntut deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya pada 3 Disember 2015 adalah melanggar hak kebebasan bergerak mengikut Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal, tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan Arahan Sekatan Perjalanan yang dimaklumkan secara lisan oleh pegawai Imigresen terhadapnya pada hari berkenaan (3 Disember), selain menuntut perintah mandamus untuk mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.

Hishamuddin menuntut ganti rugi atau pampasan akibat penafian hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan terhadap pemohon, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menerusi afidavit sokongan, Hishamuddin berkata beliau ketika itu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Korea Selatan apabila dihalang oleh pegawai Imigresen daripada melepasi pintu Imigresen meskipun mempunyai pasport dan tiket penerbangan yang sah.

Aktivis itu berkata walaupun pernah didakwa atas kesalahan menghasut, beliau tidak pernah diberi mana-mana sekatan atau halangan dari mana-mana pihak berkuasa yang melarangnya keluar dari negara ini, sebelum dihalang pada hari berkenaan.

Hishamuddin Rais

Artikel Lain