suria

Malaysia Tidak Import Spring Bay Australian Mussels

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengimport produk 'Spring Bay Australian Mussels', yang dilaporkan ditarik balik daripada pasaran Australia kerana tercemar dengan sejenis biotoksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu  diperolehi berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan, katanya, mengambil maklum laporan pihak Food Standard Australia New Zealand pada Isnin lalu mengenai syarikat Spring Bay Seafoods Pty Ltd yang menarik balik produk itu daripada pasaran tempatan Australia kerana tercemar dengan biotoksin dikenali sebagai 'Diarrhetic Shellfish Toxins' (DST).

"Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983, makanan yang telah tercemar atau mengandungi bahan berbahaya yang memudaratkan kesihatan tidak dibenar dijual kepada orang ramai.

Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang ramai juga boleh bertanyakan soalan menerusi laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel Lain