suria

Adenan Bergurau Cadang Najib Cari Isteri Baharu Orang Iban

Adenan Satem.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem secara bergurau mencadangkan Perdana Menteri supaya mencari isteri di kalangan orang Iban.

Adenan yang bergurau itu memuji Datuk Seri Najib Tun Razak yang sering mengadakan lawatan ke Sarawak: "Terima kasih, semua pelusuk Sarawak beliau telah pergi. Satu perkara yang belum lagi ialah beliau belum boleh bercakap bahasa Iban. Beliau boleh bercakap bahasa Malaysia, Inggeris tetapi tidak Iban. Saya nasihatkan beliau, jika beliau mahu cari isteri baharu, pergi dapatkan orang Iban. Saya hanya bergurau, sekadar gurauan."

Adenan berkata demikian dalam bahasa Sarawak dan Iban semasa berucap pada majlis pelancaran Program Malaysia Inklusif Negara Digital (Minda) di sini, Sabtu.

Ketua Menteri Sarawak itu sememangnya dikenali dengan sikapnya yang suka bergurau dan berjenaka.

Di awal majlis, Adenan mengatakan bahawa beliau akan mengabaikan sebahagian teks ucapan yang disediakan untuk beliau, tetapi bimbang ia akan menyingguh perasaan individu yang menulis teks ucapan berkenaan.

Terdahulu, beliau berkata, kunjungan Najib ke Sarawak adalah lebih banyak berbanding perdana menteri lain.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau telah berkunjung ke Bumi Kenyalang sebanyak 46 kali, lebih daripada jumlah kesemua kunjungan lima perdana menteri terdahulu jika digabungkan. Hari ini merupakan kunjungan ke-47 beliau. 

"Jadikan kunjungan ke-50 tidak lama lagi. Kenapa? Kerana beliau sayang Sarawak.

"Beliau tidak pernah datang dengan tangan kosong, sentiasa penuh. Beliau telah memperuntukkan jutaan, bilion dana kepada kita. Terima kasih. Sila tambah lagi," kata Adenan.

Najib ketika ini dalam lawatan kerja tiga hari di Sarawak.

Artikel Lain