Anggota Dewan Rakyat Bertafakur Ingati Tragedi MH370 - Semasa | mStar

Anggota Dewan Rakyat Bertafakur Ingati Tragedi MH370

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Rakyat pada Selasa meluangkan masa selama seminit bertafakur untuk memperingati genap dua tahun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika memulakan sidang Parlimen hari ini meminta wakil rakyat yang beragama Islam untuk membaca surah Al-Fatihah manakala Anggota Parlimen bukan beragama Islam untuk bertafakur.

Menurut beliau, misi pencarian oleh tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China kini memasuki fasa kedua di kawasan seluas 120,000km persegi di selatan Lautan Hindi.

"Kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal kini genap dua tahun. Kerajaan Malaysia, Australia dan Republik Rakyat China terus komited dalam misi pencarian pesawat berkenaan," katanya.

Menurut beliau, tragedi kehilangan MH370 merupakan tragedi menyayat hati dan menyentuh hati rakyat Malaysia.

"Dewan berharap semua waris penumpang dan anak kapal MH370 sentiasa tabah dan cekal dalam hadapi ujian dan menerima ketentuan ini. Kita berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Ingatan kita sentiasa bersama waris dan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MAS MH370," katanya sambil menambah misi pencarian diharap berjaya dandapat merungkai misteri kehilangan pesawat itu. 

Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan masih belum dijumpai hingga kini walaupun selepas operasi pencarian besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, tempat iadipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal.

Pada 29 Julai tahun lepas, satu penemuan yang disahkan sebagai serpihan 'flaperon' milik pesawat malang itu dijumpai di Pulau La Reunion, di perairan Madagascar. 

Pada awal bulan ini, satu lagi penemuan serpihan objek dipercayai milik pesawat Boeing 777 dilapor ditemui di perairan Mozambique manakala terbaharu kelmarin satu lagi serpihan ditemui di Pulau La Reunion, yang juga dikaitkan dengan pesawat MH370.-Bernama

MH370 , Dewan rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain