suria

Bekas Anggota Polis Dipenjara, Denda Kerana Rasuah

Bekas anggota polis Mohd Kamarul Ikhsan Kamaruzaman (tengah) dibawa ke penjara oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, Selasa, setelah mengaku bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah dua tahun lepas. -fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Akibat meminta dan menerima rasuah RM1,500 seorang bekas anggota polis dipenjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Kamarul Ikhsan Kamaruzaman, 28, setelah dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Beliau menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Kamarul didakwa meminta rasuah sebanyak RM1,500 melalui khidmat pesanan ringkas (sms) daripada Zaimas Mustaffa sebagai dorongan untuk membuang kes dan menarik balik laporan polis yang telah dibuat ke atas anak Zaimas.

Manakala bagi tuduhan kedua dia didakwa menerima daripada Zaimas wang tunai RM1,000 untuk tujuan yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taman Haji Ismail, Bukit Guntong, Marang, di sini dan kedua-dua kesalahan itu dilakukan secara berasingan iaitu pada 8 Jan 2014, pukul 5 petang dan 9 Jan 2014, pukul 7.25 malam.

Ketika rayuan, Mohd Kamarul Ikhsan yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman denda dan memberitahu bahawa dirinya telah dibuang kerja sejak Ogos tahun lepas.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh yang mewakili pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada penjawat awam lain serta masyarakat.

Artikel Lain