suria

Peguam Anwar Cadang Kes Saman KJ Diselesai Secara Mediasi

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengemukakan cadangan kepada Mahkamah Tinggi supaya kes saman fitnah anak guamnya terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin diselesaikan secara mediasi.

Peguam J. Leela berkata beliau mencadangkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman S. Nantha Balan supaya kedua-dua pihak menyelesaikannya secara mediasi memandangkan kes tersebut telah berlarutan hampir lapan tahun.

"Saya telah mencadangkan kepada mahkamah untuk usaha mediasi dan mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mengetahui hasil perbincangan berhubung mediasi itu," katanya kepada pemberita selepas menemui Nantha di dalam kamar pada Selasa.

Leela berkata mahkamah juga menetapkan tiga hari iaitu 7, 8 dan 9 Mac tahun ini bagi perbicaraan kes saman tersebut.

Pada 7 Mac, 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Khairy yang ketika itu naib ketua Pemuda UMNO telah memfitnahnya dalam satu ucapan di Lembah Pantai pada 20 Feb,  2008.

Anwar mendakwa bahawa klip video ucapan defendan bertajuk "Anwar and kin no threat" juga disebarkan dalam laman sesawang termasuk Malaysiakini.com.

Khairy dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Pada 6 April tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya untuk memasukkan dapatan khusus penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 Sept, 2004 dalam kes liwat pertama dihadapi Anwar.

Mahkamah Tinggi pada 9 Okt, 2013, menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya dalam saman fitnah itu. 

Anwar Ibrahim, Mediasi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain