suria

Kawalan Keselamatan Di Kawasan Tumpuan Orang Ramai, Pelancong Dipertingkat

Tengku Adnan Tengku Mansor.

PUTRAJAYA: Agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan diarah meningkatkan kawalan keselamatan di tempat tumpuan awam dan pelancong di Wilayah Persekutuan, kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Susulan insiden serangan dan pengeboman yang berlaku di Turki dan Indonesia baru-baru ini, katanya agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah bersiap siaga dengan menambah anggota keselamatan masing-masing.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak polis dan akan berbincang dengan kementerian dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendapatkan bantuan ketenteraan jika terdapat keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di sini pada Ahad.

Tengku Adnan berkata kawasan 'hotspot' yang ditingkatkan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur termasuk di Bukit Bintang, Bangsar, Sri Hartamas dan pusat membeli-belah dan tumpuan orang ramai iaitu di The Curve, Publika dan Menara Kuala Lumpur.

Pada masa sama, menteri tersebut meminta kerjasama orang awam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika melihat terdapat pihak tertentu yang mencurigakan.

"Kami juga menasihatkan orang awam untuk lebih berhati-hati terutamanya jika berada di tempat awam dan kawasan tumpuan pelancong dan jika ada yang mencurigakan tolong laporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Tengku Adnan berkata pihaknya turut menerima maklumat berkenaan ancaman keganasan termasuk rancangan mencetuskan huru-hara di negara ini.

"Bagi saya serangan dan ancaman seperti ini adalah kerana ada yang cemburu dengan kejayaan kita capai...seperti yang berlaku di Turki dan Indonesia, kita tahu kawasan seperti itu mempunyai ramai pelancong dan kita mahu memastikan keselamatan orang awam," katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 yang disambut pada 1 Feb setiap tahun.

Katanya lebih 5,000 bendera diedarkan pihak Perbadanan Putrajaya kepada 25 sekolah dan 110 persatuan penduduk serta 1,000 bendera dipasang di Putrajaya bersempena kempen tersebut.

Bertemakan 'Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera', beliau berkata sambutan Hari Wilayah turut membantu menerapkan semangat kekitaan antara penduduknya yang mana sebahagian besarnya berasal dari negeri-negeri lain di luar Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, katanya bersempena dengan sambutan Hari Wilayah juga kementerian akan memberi diskaun 50 peratus kepada orang awam yang membayar saman mereka kepada DBKL, PPj dan Perbadanan Labuan bermula 3 Feb hingga 5 Februari. - BERNAMA

kawalan keselamatan, pelancong, DBKL, PPj

Artikel Lain