suria

Jenazah Tunku Alif Hussein Selamat Dimakam

Tuanku Muhriz menabur bunga mawar ke atas makam anakanda Tunku Alif Hussein selepas selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada Jumaat. - fotoBERNAMA

KUALA PILAH: Jenazah Almarhum anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti pada pukul 7 malam Jumaat.

Almarhum disemadikan bersebelahan makam nendanya Almarhumah Tunku Ampuan Durah Tunku Besar Burhanuddin yang mangkat pada 8 Ogos 1999.

Talkin dibacakan Imam Masjid Diraja Seri Menanti, Ustaz Abdul Rahman Ibrahim.

Jenazah Almarhum sebelum itu dibawa dari Istana Besar Seri Menanti ke Makam Diraja Seri Menanti kira-kira pukul 5.30 petang dengan van jenazah Angkatan Tentera Malaysia dan tiba di makam kira-kira pukul 5.35 petang.

Hujan lebat menyirami perkarangan istana sementara ledakan meriam sebanyak tujuh das dilepaskan.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud mengiringi jenazah Almarhum bersama kaum kerabat diraja.

Turut mengiringi ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu solat jenazah diadakan di Istana Besar dan penghormatan terakhir diadakan selama sejam bermula pukul 4 petang yang dihadiri kira-kira 500 tetamu kehormat dan orang awam.

Istiadat siram jenazah dimulakan oleh Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani serta dua lagi anakanda baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan makam ketika istiadat siram berlangsung.

Tahlil akan diadakan kira-kira pukul 9 malam ini di Istana Besar Seri Menanti.

Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 31, mangkat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.55 pagi Jumaat.

Baginda diputerakan pada 3 September 1984 di Hospital Besar, Kuala Lampur.

Almarhum merupakan putera bongsu Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain