suria

Nahas SMK Bandar Damai: Pemandu Lori Hantu Direman

Salah seorang bapa mangsa nahas melihat keadaan lokasi kemalangan yang meragut nyawa anaknya.

KAJANG: Polis mendapat perintah tahanan reman terhadap seorang pekerja binaan warga Indonesia yang meletakkan sebuah lori di kawasan cerun sebelum ia berundur dan merempuh dua pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, Khamis.

Kedua-dua pelajar tersebut maut serta-merta di tempat kejadian.

Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zulkifli mengeluarkan perintah reman terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dibawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan sehingga menyebabkan kematian.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Lau Zi Xin dan Wong Siow Xuen, masing-masing berusia 13 tahun.

Dua mangsa lagi dilaporkan hanya mengalami kecederaan dalam insiden pukul 12.50 tengah hari di luar perkarangan SMK Bandar Damai Perdana di sini, Khamis.

Mereka yang cedera dikenal pasti sebagai Norhaslidalini Hamzah yang juga seorang peniaga dan pemandu wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti.

Norhaslidalini sedang menjual ayam goreng di gerai dekat dengan lokasi kejadian.

Wanita itu dilaporkan melecur di bahagian badan akibat disimbah minyak panas apabila gerainya dirempuh sebuah van.

Pekerja binaan itu dibawa ke mahkamah dengan sebuah kereta peronda polis kira-kira pukul 11.30 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard pada Khamis berkata lori tersebut merempuh sebuah van yang diletakkan di bahu jalan selain dua lagi kereta dan 34 motosikal yang diparkir di hadapan sekolah.

"Kedua-dua mangsa dikeluarkan dari bawah van dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat Kajang.

"Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain