suria

Tahanan Reman Dua Pegawai PTG Pahang Dilanjut

KUANTAN: Tempoh reman dua pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang yang ditahan berkaitan kes rasuah perlombongan bauksit di sini, dilanjutkan sehingga minggu hadapan.

Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata tempoh tahanan reman suspek berusia 28 tahun dilanjutkan sehingga Isnin manakala bagi suspek berumur 53 tahun, ia dilanjutkan sehingga Selasa.

"Kedua-dua suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, Khamis. 

Azam berkata kedua-dua suspek merupakan antara empat pegawai PTG yang ditahan pada 6 Januari lalu, di mana dua daripada mereka telah didakwa di mahkamah, Rabu. 

Beliau juga mengesahkan jumlah pegawai PTG yang direman dan dipanggil untuk membantu siasatan setakat ini ialah 10 orang manakala empat orang awam turut ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam kes itu. 

Kakitangan PTG berkenaan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam penjualan Borang Pemindahan Mineral (Borang 13D) kepada pengusaha lombong haram.

Borang itu, yang dikenali sebagai 'docket' oleh penduduk setempat, dikeluarkan PTG dengan bayaran RM1 namun siasatan SPRM mendapati ia dijual antara RM150 dan RM200 setiap satu.-- Bernama 


PTG, Azam Baki, SPRM, bauksit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kereta Hilang Dijumpai Hangus

Artikel Lain