suria

Dua Cedera Seorang Maut Dalam Tempoh Kurang Enam Jam

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Tidak sampai enam jam, dua cedera terkena tembakan rambang yang dilepaskan ke arah orang awam dan seorang maut diserang dengan senjata tajam di Pasar Borong Jalan Ipoh di sini.

Dalam kejadian pertama kira-kira 10 malam Rabu, seorang lelaki berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, kedua-duanya warganegara Myanmar cedera selepas terkena tembakan rambang oleh sekumpulan suspek.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan maklumat saksi, kira-kira lima suspek menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dilihat melepaskan tembakan secara rambang di luar deretan kedai di lokasi berkenaan.

"Jarak tempat kedua-dua mangsa ditembak adalah kira-kira 200 meter. Sebanyak lima kelongsong serta dua anak peluru ditemui di tempat kejadian," katanya.

Munusamy berkata seorang lelaki tempatan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Usaha giat akan diteruskan untuk mengesan suspek lain yang masih bebas," katanya.

Manakala kejadian kedua menurutnya berlaku pukul 3.45 pagi tadi dengan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam kawasan pasar borong dengan lima kesan tikaman di tubuhnya.

"Menurut saksi di tempat kejadian, simati telah diserang oleh dua lelaki yang menaiki motosikal bersenjatakan pisau. Kes belum melibatkan sebarang tangkapan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ditanya sekiranya kedua-dua kes berkaitan, Munusamy berkata ianya masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain