suria

Pendaki Wanita Negara Cedera Terjatuh Di Gunung Aconcagua

Keadaan Siti Hanisah akan diketahui pada Khamis selepas selesai menjalani rawatan.

PUTRAJAYA: Pendaki wanita negara, Siti Hanisah Sharuddin, yang kini dalam misi melengkapkan pendakian ke tujuh puncak tertinggi dunia, cedera selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Aconcagua, Argentina, pada Rabu.

Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata Siti Hanisah, 26, terpaksa dibawa turun dari gunung itu menggunakan helikopter sebelum dibawa ke hospital.

"Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat secara terperinci lagi mengenai keadaan beliau," katanya, sambil menambah keadaan kecederaan Siti Hanisah hanya akan diketahui esok selepas menjalani ujian x-ray di hospital.

Muhamad Muqharabbin dalam satu kenyataan hari ini berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan Siti Hanisah dan berjaya mencipta rekod sebagai wanita Malaysia pertama mendaki tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua dunia.

Pendakian Siti Hanisah dalam misi yang dinamakan KE7B Srikandi Tujuh Benua itu turut mendapat sokongan tajaan daripada IM4U.

Siti Hanisah sebelum ini telah berjaya menawan puncak tertinggi di benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro, Puncak Elbrus di benua Eropah, Puncak Kosciuzco di benua Australia selain Gunung Everest di benua Asia.

Beliau turut memegang rekod sebagai pendaki Everest Malaysia termuda ketika usia 23 tahun pada 2013.

Sementara itu, seorang lagi pendaki dari Johor, Mohd Khafiz Bachok yang mengiringi pendakian Siti Hanisah, berjaya sampai ke puncak Aconcagua iaitu gunung tertinggi di Benua Amerika Selatan dengan ketinggian 6,962 meter.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain