suria

Pengambilan Guru Tidak Boleh Terbuka Kepada Semua Siswazah - Joseph

KUALA LUMPUR: Dasar pengambilan guru tidak boleh dibuka kepada semua siswazah pendidikan termasuk daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) memandangkan terdapat kuota pengambilan jawatan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata pada masa ini graduan pendidikan lepasan Universiti Awam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) juga agak melebihi kekosongan yang ada.

"Oleh sebab itu susah kita hendak buka ruang kepada pelajar IPTS yang dilatih (dalam bidang pendidikan) untuk diambil menjadi guru di sekolah menengah dan rendah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Hasbullah Osman  (BN-Gerik) mengenai dasar pengambilan guru agar dibuka kepasa semua calon siswazah pendidikan pada sesi perbahasan sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata pengambilan guru dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hanya melaksanakan urusan pelantikan.

"Pengambilan guru tertakluk kepada kekosongan yang dimaklumkan oleh KPM," kata Joseph.

Sementara itu menjawab soalan Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) yang membangkitkan kelewatan penyampaian perkhidmatan kerajaan, Joseph berkata kerajaan sentiasa berusaha meminimumkan kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan reputasi dan imej agensi kerajaan.

"Selaras dengan usaha kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam, usaha mengurangkan kerenah birokrasi fokus kepada aspek pemerkasaan, proses dan prosedur kerja di semua peringkat agensi kerajaan.

"Business Process Reengineering' (BPR) merupakan peningkatan strategik untuk meningkatkan perekayasaan proses dan prosedur kerja melalui penghapusan langkah-langkah yang tidak cekap, syarat paling ketat dan tidak menyokong objektif kerajaan, undang-undang lapuk serta borang yang banyak.

"Semua ini dinilai semula untuk memberi kesenangan kepada rakyat untuk berurusan dengan agensi kerajaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain