suria

Yapeim: Jamil Khir Kemuka Surat Tuntutan Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengemukakan surat tuntutan kepada pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir menuntutnya (Akmal) memohon maaf dalam tempoh dua hari berhubung dakwaan menteri itu menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Peguam Adnan Seman @Abdullah yang mewakili Jamil Khir memberitahu media bahawa pihaknya telah menyerahkan surat tuntutan yang bertarikh 16 Nov, kepada Akmal, petang Isnin.

Menurut surat tuntutan daripada firma guaman Adnan Sharida  and  Associates  bahawa pihak Akmal telah mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan media dan umum serta di laman web dan Facebook di atas nama NOW pada 13 Nov lepas yang berunsur fitnah dan tidak benar ke atas Jamil Khir.

Sekiranya Akmal yang juga Ketua Publisiti PKR Johor gagal menjawab surat tuntutan itu dalam masa dua hari, firma guaman itu mempunyai arahan tegas untuk memulakan tindakan undang-undang terhadapnya.

"Anak guam kami menafikan segala fitnah dan tuduhan jahat yang dikeluarkan dan diterbitkan oleh pihak Tuan. Walaupun telah dituntut oleh anak guam kami untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan itu namum pihak Tuan telah gagal dan enggan berbuat demikian. Maka kami telah diarahkan secara tegas oleh anak guam kami untuk menuntut daripada pihak tuan," menurut surat itu.

Dalam surat itu yang ditandatangani Adnan, Jamil Khir menuntut antaranya Akmal mengeluarkan satu permohonan maaf secara lisan dan bertulis dalam tempoh dua hari dari tarikh surat itu iaitu hari Rabu, kepadanya.

Beliau juga menuntut Akmal menarik balik semua kenyataan fitnah yang telah dikeluarkan dalam masa dua hari dari tarikh surat itu dan membuat akujanji bahawa beliau tidak akan membuat atau mengeluarkan kenyataan itu atau apa jua kenyataan yang sama berkaitan reputasi dan integriti menteri itu.

Jamil Khir juga menuntut gantirugi am RM10 juta iaitu sebagai gantirugi atas fitnah, tuduhan jahat dan tidak benar terhadapnya.

Menteri itu menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan itu yang merupakan fitnah, tuduhan jahat dan tidak benar yang telah membawa kesan buruk serta pandangan negatif terhadapnya.

Menurut surat itu lagi, kenyataan itu adalah satu serangan ke atas maruah dan reputasi anak guamnya dan kenyataan itu juga mencadangkan bahawa anak guamnya adalah seorang menteri yang korup, menyalahgunakan wang anak yatim dan tidak amanah.

Yapeim

Artikel Lain