suria

Pinjaman RM4 Bilion Daripada KWAP Diambil Kira Dalam Lembaran Imbangan - SRC

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd menegaskan bahawa keseluruhan RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di bawah terma komersial normal diambil kira sepenuhnya dalam lembaran imbangannya, mengikut standard perakaunan dan amalan tadbir urus.

"Oleh itu, kami terkejut MalaysiaKini dan blog kawalan asing, Sarawak Report menerbitkan bahan-bahan yang direka dengan niat jahat yang mencadangkan bahawa dana ini telah disalahguna.

"Walaupun SRC menghormati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kami bimbang mengenai ketirisan atau kemungkinan penjualan maklumat sulit yang berlaku baru-baru ini kepada ahli-ahli media dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab, mempunyai kepentingan sendiri," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, Khamis.

SRC berkata tindakan berkenaan dilihat menjadi sebahagian daripada kempen yang sengaja untuk menjejaskann syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

"Kami menyedari bahawa, seperti dalam mana-mana organisasi, orang mungkin mempunyai pandangan peribadi atau kecenderungan politik.

"Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dibenarkan untuk menyebabkan kehilangan kebebasan mereka dalam menjalankan tugas rasmi," katanya.

SRC berkata kepentingan perniagaannya telah pun menerima kesan negatif kerana kebocoran ini.

"Sebagai sebuah syarikat yang memberi tumpuan semata-mata kepada menjana nilai, kami tidak mahu sama ada menjadi mangsa atau 'kambing hitam' dalam apa yang kelihatan sebagai kempen bermotifkan politik.

"Seperti mana-mana syarikat, SRC mempunyai kewajipan untuk melindungi kepentingannya, yang termasuk melindungi maklumat sulit perniagaan.

"Oleh itu, kami meminta Peguam Negara memulakan siasatan bebas untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap kebocoran atau kemungkinan penjualan maklumat sulit, yang melibatkan ahli-ahli politik yang mempunyai agenda dan/atau pegawai tidak amanah," katanya.

Syarikat itu berharap langkah ini akan mengenal pasti dan membantu membersihkan sebarang konflik kepentingan.

"Setelah selesai penyiasatan oleh Peguam Negara, kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM atau mana-mana pihak berkuasa lain bagi sebarang pertanyaan," katanya.-- Bernama

SRC International, KWAP, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain