suria

Suri Rumah Warga China Maut Ditikam Peragut Di JB

JOHOR BARU: Seorang suri rumah maut ditikam dua peragut dalam kejadian di Jalan Ibrahim Sultan, di Stulang Laut di sini Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, Du Wei Qing, 44, yang merupakan warga China sedang pulang berjalan kaki ke rumahnya, ketika kejadian kira-kira 9.45 malam itu.

Menurutnya dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal kemudian meragut beg tangannya tetapi mangsa melawan menyebabkan seorang daripada lelaki itu menikam belakang badannya menggunakan senjata tajam.

Kata Sulaiman, suspek kemudian terus melarikan diri dan mangsa pula berlari  mendapatkan pertolongan dalam keadaan berlumuran darah.

Bagaimanapun, setelah berlari sejauh 30 meter mangsa rebah dan meninggal dunia di hadapan sebuah restoran di kawasan itu.

Melalui pemeriksaan awal, polis mendapati satu kesan tikaman berukuran dua inci di belakang badan mangsa, manakala mangsa juga dilaporkan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200.

Sulaiman berkata, mayat mangsa yang berkahwin dengan rakyat tempatan di sini, telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.--Bernama 

Stulang Laut, China, Sulaiman Salleh

Artikel Lain