suria

RM40 Juta Selesaikan Masalah Projek Plaza Rakyat - Ku Nan

Situasi Plaza Rakyat di Jalan Pudu yang terbengkalai selama ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak tahun 1997 lepas, Dewan Rakyat diberitahu, Khamis.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, syarikat Profit Consortium Sdn Bhd dilantik untuk membangunkan semula Plaza Rakyat dan dijangka memasuki perjanjian jual beli dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada bulan depan.

"Harga jualan yang ditawarkan bagi tapak Plaza Rakyat kepada pembeli ialah RM740 juta iaitu RM700 juta bagi 'outright sale' tanah manakala bakinya akan digunakan untuk menyelesaikan masalah pembeli lama projek itu," katanya di Dewan Rakyat di sini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan mengapa DBKL masih gagal memulihkan projek terbengkalai Plaza Rakyat hingga kini dan sama ada projek itu akan dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Tengku Adnan berkata pihak DBKL telah melalui proses perundangan yang panjang dalam menyelesaikan isu Plaza Rakyat yang terbengkalai disebabkan krisis ekonomi negara dan masalah kewangan dihadapi Plaza Rakyat Sdn Bhd (PRSB).

Susulan itu tapak projek Plaza Rakyat telah diserahkan kepada DBKL pada 6 November 2014.

"Dengan pelantikan syarikat baharu ini (Profit Consortium Sdn Bhd), diharapkan isu projek yang terbengkalai dapat dipulihkan," katanya. -- Bernama


Artikel Lain