suria

7 Disember Keputusan Semakan Kehakiman Pemecatan Iszuree

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Disember keputusan semakan kehakiman yang difailkan bekas Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim bagi mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan akhir daripada kedua-dua pihak.

Peguam Mohd Harris Abdullah yang mewakili Iszuree ketika ditemui pemberita berkata tidak timbul sebarang isu kerana pihaknya telah mengemukakan penghujahan yang jelas dan komprehensif.

"Saya hanya perlu jelaskan satu dua perkara sahaja yang saya telah terangkan dengan cukup jelas tadi...kami tidak melihat sebarang isu. Matlamat saya adalah untuk membatalkan penamatan dan menganggap bahawa dia tidak pernah ditamatkan dan membayar (Iszuree) untuk ganti rugi," katanya.

Peguam RSN Rayer mewakili Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta peguam Dominic Pillai mewakili MPPP kini dikenali Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pada 14 November tahun lepas, Iszuree yang kini Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden pertama, MBPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.

Beliau memfailkan permohonan itu untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang memutuskan Iszuree dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.

Iszuree juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang memutuskan beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta-merta.

Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah menerima kedua-dua  permohonan itu, Iszuree juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.

Beliau juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.-- Bernama




Iszuree Ibrahim, MPPP, PAS

Artikel Lain