suria

Tindakan Tegas Ibu Bapa Guna Anak Untuk Mengemis - Azizah

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang didapati menggunakan anak-anak mereka untuk mengemis akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Khamis.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ibu bapa tidak sepatutnya menggunakan anak-anak mereka untuk tujuan mengemis.

"Ini amaran, kita akan ambil tindakan terhadap mereka (ibu bapa) kerana mereka tidak boleh guna anak mereka untuk mengemis," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang menggesa supaya tindakan diambil terhadap ibu bapa yang membawa anak ketika mengemis.

Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa yang melakukan kesalahan, jika disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Menjawab soalan Azeez mengenai sindiket mengemis yang dikatakan berleluasa di seluruh negara, Azizah berkata sehingga kini kementeriannya tidak mempunyai sebarang bukti kukuh terdapat sindiket yang terlibat secara langsung dengan aktiviti mengemis di seluruh negara.

"Bila kita adakan operasi yang berterusan, susah sangat untuk kita mendapatkan bukti ada sindiket terlibat dalam aktiviti ini, mereka amat licik kalau kita nak tangkap," katanya.

Justeru beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya tampil membantu kementerian dan agensi berkaitan membanteras masalah itu.

Terdahulu, menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai), Azizah berkata sebanyak 770 pengemis berjaya diselamatkan melalui 934 operasi menyelamat yang dijalankan kementerian bermula Januari hingga Jun lepas. 

Daripada jumlah itu 72 orang ialah kanak-kanak dan tindakan diambil di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, manakala tindakan terhadap pengemis orang dewasa diambil di bawah Akta Orang Papa 1977, katanya. 

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menjalankan operasi berjadual, ad-hoc dan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk menyelamatkan orang papa," katanya. 

Mohd Hatta meminta penjelasan mengenai tindakan mencegah kegiatan mengemis dan meminta derma di restoran dan kaki lima bank yang semakin menular terutama melibatkan sekolah tahfiz dan madrasah agama.

Azizah berkata kementerian turut mengadakan pemantauan aktiviti pengemisan, menjalankan program kesedaran awam serta menubuhkan Jawatankuasa Bagi Menangani Isu Pengemisan dan Jawatankuasa Kerja Kutipan Derma. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain