suria

Umno Bahagian Permatang Pauh Tidak Patut Sertai Himpunan 'Baju Merah' - MCA

Chew Mei Fun.

PETALING JAYA: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata kumpulan 'Baju Merah' harus membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan "Himpunan Maruah Melayu" pada 16 September ini.

Jelasnya, MCA menentang sekeras-kerasnya gesaan Umno Bahagian Permatang Pauh yang meminta orang Melayu supaya mengambil bahagian dalam konvoi motosikal dari Permatang Pauh ke Bukit Bintang.

"Walaupun kami faham niat ahlu Umno untuk menunjukkan solidariti mereka di belakang Perdana Menteri, perhimpunan seperti ini perlu dilakukan dengan cara yang sah, positif dan aman tanpa bersifat perkauman," kata Chew.

Beliau berkata sebagai sebuah parti pemerintah, Umno perlu menjadi pemimpin contoh dan tidak menghina Akta Perhimpunan Aman yang digubal dan diluluskan di Parlimen.

"Tanggapan mengenai perhimpunan dan perarakan kumpulan baju merah pada kali ini mencetuskan kebimbangan banyak pihak terutamanya apabila rusuhan baharu sahaja berlaku di Plaza Low Yat," katanya.

Chew yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Pulau Pinang berkata, perhimpunan tersebut hanya akan mencetuskan sensitiviti perkauman dan konflik.

"Sebagai seorang yang menyokong 1Malaysia dalam pentadbirannya, saya percaya Perdana Menteri juga tidak akan bersetuju dengan tindakan seperti itu yang akan menyebabkan perpecahan kaum," kata Chew.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) sentiasa berpandu kepada keharmonian kaum dalam visi dan wawasannya.

"Kami percaya kepimpinan Umno sebagai tulang belakang dalam BN tidak akan memusnahkan keharmonian kaum yang dibina Umno bersama dengan parti komponennya sejak 58 tahun lalu," katanya.

Perhimpunan "baju merah" dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Ia akan diadakan pada 16 September di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai reaksi balas kepada perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu.


Himpunan Baju Merah, MCA

Artikel Sebelum

Akibat Daripada Kes Justo

Artikel Lain