suria

PAAB Yakin Pemindahan Aset Air Selangor Selesai Mendahului Jadual

KUALA LUMPUR: Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yakin pemindahan aset air di Selangor boleh diselesaikan lebih awal daripada tarikh akhir tamat tempoh 60 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata kerjasama daripada semua pihak adalah baik kerana terdapat persefahaman bahawa jika mereka tidak meneruskannya, perjanjian itu tidak akan dapat dilaksanakan.

"Perbincangan berjalan dengan amat baik, dan saya rasa tidak ada masalah untuk menyelesaikan kemelut air untuk Selangor, paling awal pada hujung bulan Ogos.

"Kita akan buat secepat mungkin kerana selagi isu ini tidak selesai, projek Langat 2 tidak boleh berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAAB di sini, Khamis.

Perjanjian Tambahan penstrukturan semula air ditandatangani pada 10 Julai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi,  CEO Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Suhaimi Kamaral Zaman dan Ahmad Faizal.

Pihak yang menandatangani mempunyai 60 hari untuk memenuhi syarat dalam perjanjian utama.

Mengenai projek Langat 2, Ahmad Faizal berkata kemajuannya pada kadar 22 peratus siap.

"Kita sedang menunggu kerajaan Selangor melepaskan segala permit dan kelulusan, yang dijangka akan berlaku selepas penstrukturan perkhidmatan bekalan air ini selesai," katanya.

Semasa ditanya sama ada tarif air akan meningkat selepas penyusunan semula perkhidmatan bekalan air selesai, Ahmad Faizal berkata: "Ia bukan tanggungjawab PAAB untuk menentukan kadar air kerana ia adalah hak kerajaan negeri masing-masing. Tetapi setakat yang saya tahu, kadar air tidak akan naik." -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain