suria

Muhyiddin Tak Boleh Dipecat Sebagai Timbalan Presiden - Nazri Aziz

Datuk Seri Nazri Aziz
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno kerana beliau dipilih oleh ahli parti, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Katanya, Umno perlu menunggu sehingga pemilihan parti, di mana Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemungkinan besar akan memegang jawatan itu, katanya.

"Tak ada apa dapat dilakukan kecuali Muhyiddin letak jawatan... Beliau tidak boleh dipecat kerana beliau dipilih oleh perwakilan... Jika dia tidak melepaskannya, terdapat kemungkinan Zahid akan mencabarnya. Saya menjangkakan Zahid akan berbuat demikian," katanya kepada The Star Online dari Milan di mana beliau sedang dalam rangka lawatan kerja.


Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan Muhyiddin dan empat menteri lain dari Kabinetnya.

Nazri mengakui mungkin akan terdapat masalah dalam parti berikutan pengumuman pada Selasa tetapi berkata langkah Najib melantik Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah tindakan yang betul kerana beliau adalah seorang tokoh yang popular dalam parti.

"Peranan pertama Zahid adalah untuk membantu mengukuhkan parti. Saya fikir beliau boleh melakukannya. Beliau popular dan disenangi. Beliau tidak mempunyai musuh, kecuali orang-orang yang tidak senang dengan beliau," kata Nazri.

Beliau menambah Muhyiddin telah cuba menghasut ahli-ahli Umno pada mesyuarat Umno bahagian Cheras, Ahad lalu.

"Malah, apabila kita bercakap tentang penangkapan Justo di Thailand dan kemungkinan bahawa penulisan artikel adalah palsu, beliau seolah-olah tidak gembira. Saya tidak faham," kata Nazri sambil menambah Muhyiddin sepatutnya menunggu pasukan petugas khas mengenai 1MDB menjalankan tugasnya.

Nazri berkata, beliau berterima kasih kepada Najib untuk dikekalkan dalam Kabinet kerana terdapat khabar angin bahawa beliau akan digugurkan.

Artikel Lain