suria

Cukup Korum Untuk Teruskan Prosiding 1MDB - Dr Tan

Nur Jazlan dan Dr Tan (kanan) dalam salah satu prosiding PAC.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meneruskan sesi pendengaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mempunyai korum mencukupi selepas empat ahli jawatankuasa itu dilantik dalam barisan Kabinet baharu.

Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw berkata Peraturan Mesyuarat 83 (3) memperuntukkan bahawa prosiding boleh diteruskan selagi korum mencukupi.

Peraturan Tetap Mesyuarat 83(3) berbunyi: "Melainkan jika Dewan Rakyat mengarahkan, tiga ahlinya termasuk pengerusi patut berada dalam korum tersebut..

"Ini bermakna ketiga-tiga mereka dari 1MDB, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Halmi, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamu dan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Hazem Abd Rahman perlu hadir seperti tarikh yang ditetapkan suruhanjaya itu pada 4, 5 dan 6 Ogos.

Persoalan sama ada PAC akan terus siasatan yang dibangkitkan selepas pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed, ahli PAC, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau melepaskan jawatan selepas dilantik dalam Kabinet baharu perdana menteri.

Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong (DAP) berkata pengerusi di sini merujuk kepada mana-mana ahli PAC dipilih untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Beliau memetik Peraturan Tetap Mesyuarat 77 (3) dan menjelaskan bahawa ahli jawatankuasa boleh melantik mana-mana ahli untuk bertindak sebagai pengerusi bagi mempengerusikan mesyuarat tersebut semasa ketiadaan pengerusi atau naib pengerusi kerana masalah kesihatan atau sebab lain.

Dr Tan berkata walaupun keempat-empat ahli PAC itu dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, PAC masih mempunyai sembilan lagi ahli dengan lima dari pembangkang.

"Kami mempunyai korum yang mencukupi, jadi prosiding boleh diteruskan," katanya.

Dr Tan Seng Giaw, PAC, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain