suria

Penjual Mercun Ditahan Ugut Penguat Kuasa

MELAKA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kerana mengacu parang dan mengugut anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHJT) ketika anggota itu cuba merampas mercun di Pasar Borong Hang Tuah Jaya, Batu Berendam di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata suspek, 46, seorang penjual mercun tanpa permit ditahan polis selepas menerima panggilan berhubung ugutan tersebut di pasar berkenaan kira-kira 7.15 pagi.

"Sebelum kejadian, penguat kuasa MPHTJ berkenaan telah ternampak mercun di atas meja yang dipercayai dijual di pasar berkenaan.

"Pada mulanya peniaga berkenaan tiada di tempat menjual mercun tersebut namun ketika sepasukan anggota penguat kuasa MPHTJ hendak membuat rampasan, beliau datang dan cuba menghalang dengan mengacu parang," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan mercun berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

Mercun

Artikel Lain