suria

Ibu Bapa Budak Maut Dipercayai Didera Direman

ALOR GAJAH: Ibu dan bapa kanak-kanak berumur setahun 10 bulan yang meninggal dunia selepas dipercayai didera Isnin lepas, dikenakan tahanan reman tujuh hari bermula Selasa.

Timbalan Ketua Polis Alor Gajah, Deputi Superintendan Razali Sabar berkata, ibu dan bapa kanak-kanak itu yang masing-masing suri rumah dan pekerja am sebuah pasaraya di sini, ditahan bagi membantu siasatan.

Mangsa Evan Chee Xin Ci dipercayai meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala akibat terkena objek tumpul dan keras di rumahnya di Taman Indah, Pulau Sebang di sini.

Razali berkata, hasil bedah siasat mendapati dua kesan keretakan sepanjang 12 sentimeter dan lapan sentimeter di tempurung belakang kepala mangsa.

"Terdapat kesan lebam baharu di dahi, lengan serta hidung mangsa. Siasatan lanjut turut menemui kesan lebam lama di kedua-dua tangan dan kaki kiri kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Terdahulu mangsa ditemui ibunya yang berusia 26 tahun dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah mereka ketika keluar dari bilik mandi kira-kira 5.30 petang, pada Isnin lepas.

Razali berkata ibu dan ayah mangsa yang berusia 36 tahun kemudian membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu ke Hospital Tampin bagi mendapatkan rawatan setelah mendapati mangsa tidak bergerak.

"Hasil pemeriksaan hospital itu mengesahkan kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat semalam," katanya.-- Bernama


Artikel Lain