suria

APMM Tahan Dua Kapal Bersauh Tanpa Kebenaran

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal asing yang bersauh secara haram di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, Selasa.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata kapal MT Mascot dan MT Hanyang Race itu dikesan di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara Tanjung Ramunia, Pengerang, oleh anggota APMM yang melakukan rondaan, kira-kira 7.15 pagi.

"Pemeriksaan kemudian mendapati kedua-dua kapal itu tidak melaporkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia, berlabuh tanpa kebenaran serta tidak membayar dius api," katanya menerusi kenyataan, Rabu.

Amran berkata MT Mascot yang didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia membawa enam anak kapal manakala MT Hanyang Race yang didaftarkan di Bitung, Indonesia membawa empat anak kapal rakyat Indonesia.

Beliau berkata kesemua anak kapal berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili, Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

Katanya kedua-dua kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, katanya.-- Bernama


APMM, MT Hanyang Race

Artikel Lain